Kata Aluan Pengetua
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin dan hidayahNya, saya diberi kesempatan untuk memberi sepatah dua kata di dalam Buku Panduan Pengurusan Sekolah Sesi 2017 ini. Terlebih dahulu, ucapan setinggi-tinggi tahniah dan jutaan terima kasih saya tujukan kepada JK Buku Pengurusan dan Takwim Persekolahan yang berjaya menyiapkan buku ini. Saya juga ingin mengucapkan selamat datang ke sesi persekolahan baharu tahun 2017. Terima kasih diucapkan kepada semua warga Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sharifah Rodziah kerana telah bertungkus lumus melaksanakan tugas yang diamanahkan.Tahniah dan jutaan terima kasih atas kejayaan yang telah dicapai pada sesi persekolahan tahun 2016.
Bersyukur kehadrat Allah s.w.t kerana melalui usaha gigih serta komitmen yang tinggi dari warga As-Sharifah, kita telah mencapai status Sekolah Kluster Kecemerlangan dan seterusnya sekarang ini bergelar Sekolah Berprestasi Tinggi. Menyingkap kembali pencapaian sekolah kita pada tahun 2016, Peringkat Negeri Melaka tempat ke-3/76, SMKA Kebangsaan ke15/57, SMKA/SABK Kebangsaan ke-26/220 dan sekolah-sekolah kebangsaan dikedudukan 99/2272. SBT merupakan kelompok sekolah yang teratas di Kementerian Pendidikan Malaysia. Status SBT merupakan nikmat Allah s.w.t yang amat bernilai sekali dalam konteks dunia pendidikan. Justeru itu, ianya perlu dipertahankan dalam apa cara sekali pun. Untuk mengekalkan SBT skor komposit yang diperlukan ialah 90.0 dan sekarang ini kita berada di 84.04. Formula yang digunakan ialah 70% akademik (SPM) dan 30% (SKPM penarafan kendiri). Kita diberi tempoh 3 tahun untuk mengekalkan status sekolah kita sebagai SBT. Pencapaian SPM 2016 adalah tahun pertama yang diambil kira. Keputusan pada Mac 2017 merupakan titik tolak untuk kebangkitan warga As-Sharifah untuk kekal bersaing sebagai SBT disamping memenuhi 6 KPI SBT yang telah ditetapkan oleh KPM. Saya amat berkeyakinan tinggi Sharodz akan kembali mengecapi kehebatannya seperti tahun 2012 dimana skor komposit 90.97 dan dikedudukan 48 dalam senarai kebangsaan.
Dalam era globalisasi ini, ditambah dengan kepesatan pendidikan abad 21 yang pelbagai, menuntut kita sebagai pendidik untuk lebih peka dan menguasai teknologi dan pengetahuan yang baru sesuai dengan perkembangan semasa. Selari dengan aspirasi dan harapan ibu bapa, murid, masyarakat dan negara di zaman millennium ini terhadap institusi sekolah, memerlukan kita banyak berkorban dalam pelbagai aspek. Kejujuran, keikhlasan, kerjasama dalam melaksanakan amanah merupakan tunjang kepada guru melaksanakan PdP dalam suasana ceria dan gembira. Seterusnya menimbulkan keseronokan menimba ilmu di sekolah ini. Saya percaya melalui penghayatan Tonggak Dua Belas dan motto sekolah kita Al-Amanah kita mampu mencapai cita-cita yang akhirnya melahirkan murid yang cemerlang di dunia serta tinggi sahsiah diri sebagaimana digambarkan dalam al Quran generasi ‘Qawiyyul Amin’.
Akhir kata, semoga sesi persekolahan tahun 2017 akan seiring dengan azam, tekad bagi meningkatkan kualiti dan profesionalisme diri yang menuntut kepada perubahan bagi menjamin SBT SMKA Sharifah Rodziah akan dapat mencapai prestasi yang membanggakan dan akan melakarkan kejayaan yang gemilang dalam semua bidang, sama ada akademik, kokurikulum, sahsiah diri.
Sekian. terima kasih dan Selamat Bertugas
HJ. ISMAIL BIN MOHMD
Pengetua
Sekolah Berprestasi Tinggi
SMKA Sharifah Rodziah